IQNA

Mangsa keganasan rumah tangga berlindung di masjid

5:04 - November 04, 2021
Berita ID: 3100362
TEHRAN (IQNA) - Mangsa keganasan rumah tangga yang sebelum ini enggan mendapatkan bantuan kerana tidak mempunyai tempat dituju kini boleh berlindung di Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata, mangsa akan diberi kaunseling dan bimbingan spiritual oleh pegawai masjid serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlatih.

Katanya, mangsa akan tinggal di asrama, diberi makan, minum sepanjang di situ, selain disediakan set persalinan pakaian, selimut, tuala dan peralatan kebersihan diri.

"Bantuan dari Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga disediakan untuk membantu mangsa mengambil tindakan rasional serta sesuai sebaik tamat tempoh transit di masjid.

"Mangsa akan diberikan perlindungan sementara dengan syarat sudah membuat laporan polis serta laporan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) JKM, jika perlu.

Mangsa keganasan rumah tangga berlindung di masjid

"Laporan polis bertujuan menjamin keselamatan mangsa sepanjang tinggal di masjid sebelum dipindahkan ke pusat perlindungan di bawah JPW atau JKM," katanya kepada BH.

Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran TTDI menjadi perintis bagi Program Masjid Sebagai Pusat Transit Mangsa Keganasan Rumah Tangga yang dilancarkan dengan kerjasama JAWI dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), pada Mei lalu.

Sebanyak 12 masjid di Wilayah Persekutuan dipilih sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga yang memerlukan khidmat nasihat, sokongan psikologi serta kaunseling dalam usaha membina masyarakat harmoni.

Mohd Ajib berkata, inisiatif di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 itu dilaksanakan bagi memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan meliputi keperluan psikososial dan spritual.

Katanya, program berkonsepkan perlindungan segera kepada komuniti dan masyarakat setempat dalam kalangan ahli kariah masjid ini, diberi kepada mangsa keganasan rumah tangga sama ada lelaki atau wanita tanpa mengira agama.

Meskipun, setakat ini belum ada sebarang kes diterima, tetapi JAWI berharap program ini dapat memperkasa komuniti melalui sokongan psikososial serta penganjuran pelbagai aktiviti.

"JAWI berharap tahap kesedaran mengenai jenayah rumah tangga meningkat. Masjid berperanan sebagai pusat pendidikan sivik, moral dan terapi kerohanian kepada yang mengalami permasalahan kehidupan seperti fungsi masjid pada zaman Rasulullah SAW," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, dilaporkan berkata, statistik isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak termasuk membantu mangsa melalui penyediaan tempat sementara bagi mendapatkan perlindungan sewajarnya.

Masjid sebagai projek rintis membantu mangsa mendapatkan tempat berlindung dan pertolongan dengan lebih cepat.

JPW juga mengambil inisiatif membangunkan Modul Skuad WAJA sebagai rujukan pegawai JAWI yang dilantik bertugas di pusat transit ini.

Modul itu akan memfokus kepada penyampaian ilmu dan kemahiran asas psikologi melalui usaha meningkatkan keseimbangan.

bharian.com

captcha